Friday, June 18, 2010

Berkaitan peribahasa itu, ia mencerminkan tentang bagaimana tanggapan atau harapan yang dibina tidak kesampaian dan tidak tercapai seperti yang kita mahukan.Dari situ kekecewaan itu melanda dan memberi 1 episod di dalam siri-siri kehidupan.

Hari ni saya ada terbaca berita di surat khabar Metro tentang kes-kes puncanya terjadi perpisahan antara kekasih yang bercinta, penceraian antara suami isteri yang dah berumahtangga tak kisah sama ada tempoh perkahwinan itu baru atau sudah lama, wanita/isteri yang dibelasah oleh kekasih/suami tercinta...dan macam-macam lagi.

Takut dibuatnya apabila fikirkan tentang hal-hal yang tak mustahil untuk berlaku di dunia ni.Teruk! Itu yang mampu saya katakan. Apakan tidak..semuanya mengakibatkan kelukaan di hati dan juga kecederaan fizikal.Gila? Lagi-lagi yang kena itu adalah kaum Hawa yang sudah dari azali kita semua tahu yang kaum Hawa ini lemah jika nak dibandingkan dengan kaum Adam.

Ya..memang zaman sekarang ini ramai perempuan yang cuba jadi kuat, mengaku boleh sama kuat dengan lelaki..tapi tidak kalau nak banding dari segi kekuatan kudrat. Tell me if I'm wrong. Cuba suruh perempuan angkat barang berat-berat macam tong gas yang diisi penuh atau meja sebelah tangan..hah...cuba cuba...Susah an..nak tak nak kena minta tolong dari lelaki an.So, meaning that perempuan ni lembut dan lemah gemalai okay.But then, kenapa masih ada lelaki yang susah nak terima hakikat tu dan pukul/belasah si perempuan..terutama yang bergelar sang suami.Tak faham lah.Awak kahwin dengan perempuan tu sebab nak tunjuk awak kuat ke dan boleh tunjuk kuasa pukul perempuan sesuka hati? Otak letak kat punggung ke kat tapak kaki? Diberi peluang jumpa dan kahwin dengan perempuan itu kemudian awak sia-siakan dia? Hisshh..minta kena curse je jenis-jenis lelaki macam ni..dan kesian betul kat perempuan-perempuan yang masih cinta dan setia menghadapi lelaki-lelaki macam tu..Nauzubillah..

Jangan salah faham ye.Saya bukan nak mengeruhkan suasana tapi yang cuba saya tekankan adalah perempuan selalunya kuat dari segi emosi. Tapi itu tak bermakna lelaki diberi hak untuk mendera emosi mereka.Lelaki sebagai ketua patut lindungi kaum Hawa..terutama isteri masing-masing..bukan tunjuk kuasa veto dengan buat kekasaran sesuka hati.Tak kisah lah kasar dari segi bercakap atau perbuatan. Mana janji pada Allah yang nak jaga kaum Hawa dan bimbing mereka? Masa bercinta bagai nak rak dulu, kemain janji macam-macam.Titanic yang tenggelam dalam dasar laut tu pun boleh timbul balik dengan janji-janji manis tu..haizz....entah lah..

Saya bukan nak menyalahkan pihak lelaki 100% tetapi keadaan ni boleh berubah untuk jadi lebih baik kan kalau lelaki dan perempuan sama-sama tolak-ansur dan kekalkan harmoni dalam hubungan sehari-hari.Daripada lepas marah dan geram..maki dan pukul jadi santapan..apa tu? mana cinta itu pergi?mana kasih sayang itu hilang? kalau kita sayang dan cinta, kita tak kan nak orang yang kita sayang dan cinta itu terluka walau sedikit pun kan.. then,still it happen?why..can somebody tell me why..

Saya tak tahu lah nak kata apa..cuma saya berdoa..jangan lah hendakNya ada lagi kes-kes macam ni terjadi pada kaum muslimah di seluruh dunia dan di Malaysia terutamanya..

Mari kita baca dan kongsi pengalaman mereka untuk dijadikan iktibar..

Rohani Abdullah (bukan nama sebenar), 32, suri rumah yang mengakui rumah tangganya hancur akibat suaminya, Husin (bukan nama sebenar) bermain kayu tiga dengan janda yang lebih berusia daripadanya sejak 2008.

Kerjaya suami Rohani yang bertugas sebagai anggota keselamatan memaksa mereka sering berpindah dari satu negeri ke satu negeri lain demi memenuhi tuntutan kerja.
Wanita berasal dari Sungai Buloh, Selangor, ini berkata, pada awal suaminya dipindahkan ke sebuah negeri di Malaysia Timur dan mereka sekeluarga terpaksa berpisah sementara kerana ada beberapa masalah berkaitan keluarga.

Namun, pada penghujung 2009, dia membawa tiga anaknya menetap bersama suaminya di kediaman yang disediakan pihak majikan.

Pada mulanya, segala-galanya berjalan seperti biasa dan dia langsung tidak menyedari kecurangan suaminya. Tetapi, naluri wanitanya mula berasa sangsi dengan sikap pelik suaminya yang sering pulang lewat malam dan suaminya itu enggan membenarkan menggunakan telefon bimbitnya.

Dia mula sangsi dan mengesyaki ada yang tidak kena kerana hampir setiap hari Husin balik lewat malam dan kadangkala hingga ke dinihari. Ia mendorongnya menebalkan muka menghubungi beberapa rakan sekerja suaminya untuk bertanyakan hal berkenaan. Seperti diduga, dalam diam rupa-rupanya Husin bermain cinta dengan janda dari Indonesia yang dikenali di sebuah kedai makan berhampiran tempat kerjanya.

Rohani mengakui pernah terbaca mesej berbaur cintadaripada penghantar yang tidak dikenali ke telefon bimbit suaminya. "Mesejnya, 'Sayang, I Love U Too'. Musykil dengan mesej berkenaan, saya menghubungi wanita itu untuk bertanyakan siapakah dia. "Tetapi wanita itu menjawab dengan biadab, 'Saya bakal madu awak' dan meminta saya jangan mencampuri urusan mereka," katanya.

Tertekan dengan apa yang diberitahu, Rohani bertanyakan sendiri kepada suaminya. "Saya memintanya mengaku, tetapi dia enggan dan sebaliknya menuduh mereka cerita sedangkan saya tahu hubungan mereka sebenarnya sudah terjalin sejak pertengahan 2008. Kami bergaduh besar dan tidak cukup dengan itu, dia turut menampar saya di depan anak-anak. Kecewa dengan tindakannya, saya mengambil keputusan kembali ke pangkuan keluarga tidak lama selepas kejadian kerana sudah tidak sanggup hidup bersama dengannya," katanya.

Rohani berkata, jika diikutkan hati, dia mahu terus bercerai dengan suaminya, tetapi terpaksa memendamkannya sementara kerana mengenangkan nasib tiga anaknya.
Selepas kejadian itu, Husin menghubunginya untuk menjernihkan kembali keadaan, tetapi hatinya belum dapat menerima segala perbuatan suaminya selama ini.

"Saya tidak akan memaafkannya walaupun Husin menangis hingga mengeluarkan air mata darah sekali pun. Entah di mana silapnya, kasih sayang dan kesetiaan yang diberikan selama lapan tahun perkahwinan hingga sanggup suami mencari wanita lain. Buat masa sekarang saya menumpang di rumah keluarga kerana sudah tidak tahu ke mana hendak dituju. Sudah lapan tahun saya berhenti kerja dan ia mungkin sukar untuk kembali mencari pekerjaan dalam waktu terdekat. Mujur simpanan masih ada bagi menampung kehidupan kami. Tetapi saya berhasrat untuk memulakan hidup baru dengan mencari kerja sendiri mencari nafkah bagi menyara anak-anak," katanya yang hingga kini masih tidak dapat membuat keputusan sama ada mahu berpisah atau tidak dengan suaminya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KALI pertama bertemu dengannya, tidak sangka pada usia 24 tahun dia sudah bergelar janda. Kecil molek orangnya, cantik, dengan lesung pipit di pipi. Memperkenalkan diri sebagai Amarina (bukan nama sebenar), bersamanya seorang bayi comel baru berusia setahun empat bulan. Dia sendiri tidak menyangka perkahwinan atas dasar suka sama suka berakhir dengan perceraian. Perkenalan ketika menjalani latihan amali akhirnya membuahkan rasa cinta yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Amarina tidak mengambil masa lama untuk menerima cinta Kamil (bukan nama sebenar) memandangkan dia tidak pernah bercinta sebelum ini.

Bulan pertama dan kedua, dia melalui saat bahagia seperti pasangan lain. Baginya Kamil memiliki ciri suami idamannya. Namun harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ketika kandungan mencecah empat bulan, Kamil mula buat perangai. Mungkin kerana tidak puas hidup membujang, ketika isteri berbadan dua dia mula mencari pasangan menerusi laman sosial Facebook. “Mulanya hanya sebagai kenalan biasa tetapi mereka mula bertukar-tukar nombor telefon. Saya mengesyaki sesuatu, biasalah naluri isteri sangat kuat. Akhirnya saya berjaya membuka akaun Facebook Kamil dan membaca semua pesanan berbaur lucah yang ditinggalkan wanita itu,” kata Amarina. Apabila ditanya kepada suami, dia memberitahu hanya kenalan biasa, tetapi Amarina tidak berpuas hati. Sekiranya kenalan biasa mana mungkin boleh menulis dengan pesanan penuh kasih sayang. Oleh kerana tidak mahu Amarina mengetahui perbuatannya, Kamil menghentikan seketika tabiatnya 'bermain' dengan kenalan itu. Namun selang dua bulan kemudian, dia menjalin semula perhubungan dengan wanita itu malah dia menukar kata laluan Facebook. Amarina mula mengesyaki yang suaminya mula bermain kayu tiga. Dengan kuasa Allah, Amarina mengetahui kata laluan terbaru suaminya. Alangkah terkejutnya apabila mendapati di dalam e-mel suaminya terdapat gambar lucah yang sungguh memualkan. “Saya tidak dapat menerima kenyataan dan terus menangis semahu-mahunya kerana mengenangkan suami yang sanggup menduakan saya. Semua gambar itu saya simpan sebagai bukti untuk saya tunjukkan kepada suami. Memang kami bergaduh besar kerana dia cuba membela wanita itu dan saya tidak boleh memaafkan dirinya,” katanya.


Ketika itu, kandungannya sudah mencecah enam bulan. Bayangkan tekanan yang terpaksa dihadapinya. Jika diikutkan hati, memang dia masih sayang pada perkahwinan terutama pada anak yang bakal lahir, tetapi sampai bila kerana suaminya tidak pernah mahu berubah dan masih mahu berfoya-foya seperti ketika bujang dulu. “Kami pernah menjalani sesi kaunseling di jabatan agama tetapi tidak menemui jalan penyelesaian. Saya juga pernah memberitahu kepada ibu mentua mengenai gambar itu dengan harapan dia dapat menasihati anaknya. Malangnya saya pula dimarahi suami,” kata Amarina.


Memikirkan perangai suami yang tidak mahu berubah malah pengakuan seorang wanita yang pernah terlanjur dengan Kamil, Amarina tekad mahu berpisah, walaupun berkali-kali suaminya berjanji untuk mengubah sikap dan tidak mengulangi kesilapan lama. Namun Amarina sudah tawar hati. Biarlah dia menanggungnya seorang diri. Lagi pun dia mempunyai pekerjaan tetap dan mampu menyara anak. Sebaik saja kelahiran anak genap 100 hari, Amarina memohon fasakh dan mereka bercerai dengan talak satu pada usia anak yang baru mencecah tiga bulan. Namun selepas bercerai, Kamil merayu untuk rujuk semula. Setiap hari dia menelefon dan menghantar pesanan ringkas kepada Amarina, ibarat orang yang 'gila talak'. Tetapi Amarina sudah tiada hati untuk kembali ke pangkuan bekas suaminya.


“Dua bulan pertama memang sukar menerima kenyataan perkahwinan saya bertahan selama setahun saja. Tetapi saya mula percaya jodoh kami hanya setakat itu.Daripada saya terus menjeruk rasa, lebih baik kami berpisah,” katanya. Ketika ini, hati Amarina tertutup untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki. Biarlah masa menentukan. Dia mahu menjalani kehidupan normal dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

TRAGIS dan cukup menyayat hati apabila insan yang sepatutnya bergelar pelindung menjadikan diri tidak ubah seperti 'beg tinju' hingga menimbulkan trauma seumur hidup bagi mendekati individu bergelar lelaki.

BAGI Kak Mawar (bukan nama sebenar), 39, setiap wanita bergelar isteri tidak akan pernah menyangka akan diperlakukan sebegitu rupa terutama jika tempoh perkahwinan yang dilalui agak lama.


Menurut mangsa keganasan rumah tangga ini, dia dan suami agak lambat memiliki anak. Mereka mengambil masa 10 tahun baru dikurniakan permata hati pertama dan kemudian anak kedua dan ketiga. "Sebelum ini kami tidak pernah mengalami sebarang masalah tetapi kini mungkin disebabkan tanggungjawab yang dipikulnya makin bertambah berat, perangainya mula berubah dan sikap panas barannya mula terserlah.Dia mula mengabaikan tanggungjawabnya terutama dari segi pemberian nafkah khususnya kepada anak-anak dan akan mengamuk sekiranya saya mempersoalkannya," katanya ketika ditemui di sebuah rumah perlindungan wanita di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Tindakan suami pula semakin lama semakin ganas dan memperlakukan dirinya seolah-olah barang untuk melepaskan tekanan yang dihadapi di luar rumah."Saya tidak kisah jika dipukul tanpa membabitkan anak-anak tapi pernah satu ketika dia memukul saya di hadapan anak sulung saya.Ketika menyaksikan saya dipukul, anak turut menangis dan meminta saya supaya tidak membantah apa yang dilakukan bapanya bagi mengelakkan tindakan lebih teruk," katanya.


Ibu mana tidak sedih melihat anak menangis ketakutan dan merayu-rayu sebegitu."Hingga kini anak lelaki saya akan mengingatkan supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan saya dipukul.Bimbang perlakuan suami ditiru anak lelaki saya, saya mengambil keputusan untuk meninggalkannya. Biarlah saya berpisah jika itu yang sudah tersurat dalam kamus hidup saya," katanya.

Kini proses perceraiannya masih berlangsung, tetapi disebabkan bimbang dengan keselamatan diri dan anak, Mawar nekad mencari perlindungan sehingga semua perkara terbabit selesai."Saya pernah ditumbuk sekuat hati di muka dan badan serta dibelasah semahunya hanya kerana menegur mengenai tanggungjawab yang diabaikannya selama ini.Kepala dan badan saya lebam dan bengkak teruk hingga menyebabkan saya mendapatkan rawatan di hospital tapi saya masih lagi cuba bertahan demi anak-anak," katanya.Selepas membuat pertimbangan sewajarnya, keputusan untuk meninggalkan suami adalah jalan terbaik walaupun tidak mendapat restu keluarga.

"Mereka tidak mengalami apa yang saya alami selama ini sebab itu mereka memberikan pelbagai andaian. Tapi jika berada di tempat saya kini, apa yang akan mereka lakukan? "Saya tidak mungkin kembali kepadanya walau sebanyak mana dia merayu kerana cukuplah dengan apa yang berlaku selama ini. Biarlah saya dan anak-anak menjalani kehidupan sihat seperti orang lain," katanya dalam nada sedih.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Bagi Kak Hani (bukan nama sebenar), 39, pula, tekanan psikologi daripada suaminya dulu mengakibatkan dirinya mengalami tekanan perasaan yang tidak terhingga.Mujurlah kekuatan iman banyak membantu dalam mengharungi badai melanda di samping wajah comel dua anaknya mengingatkan bahawa tanggungjawabnya masih ada. Untuk itu, dia tekad untuk berpisah.Kini dia yang masih lagi dalam proses perceraian bertindak mencari perlindungan bagi memastikan keselamatannya dan anak-anak terjamin sepanjang proses terbabit.

Menceritakan kisah hidupnya sepanjang empat tahun bergelar isteri, menurutnya, di awal perkenalan dengan suami tidak pernah terlintas di fikiran lelaki yang dikenalinya itu seorang yang panas baran, cemburu buta dan suka mengongkong.

"Belangnya mula terserlah sehari selepas majlis perkahwinan kami. Dia mula menunjukkan kekuasaannya sebagai lelaki bergelar suami.Habuan seperti sepak terajang, penampar adalah 'makanan' harian saya. Malah sekiranya saya lambat mengangkat telefon suami akan menuduh ada lelaki lain di rumah bersama saya ketika itu," katanya.

Paling memeritkan katanya, ketika mengandungkan anak sulung yang kini disahkan menghidap autisme, perlakuan ganas sebegitu tidak pernah berhenti walaupun ketika itu dia mengandung.

"Pada bulan kelima mengandung, dia pernah mencekik saya disebabkan tidak berpuas hati dengan perbuatan saya ketika itu. Malah ada satu ketika dia memukul saya hingga pecah bibir kerana terlalu marah.Malah sepanjang sembilan bulan mengandung, dia tidak pernah memberikan sebarang bantuan kewangan sebaliknya saya menggunakan wang simpanan sendiri," katanya.

Di samping itu, Hani juga akui, suaminya turut mengongkong pergerakannya. Dia tidak dibenarkan bercampur dengan jiran tetangga, menonton televisyen, membuka pintu ataupun tingkap rumah dan paling menyayat hati, dia tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga sendiri.

"Setiap pergerakan saya dipantau setiap saat seolah-olah sebelum ini saya pernah melakukan kesalahan besar padanya. Saya amat tertekan dengan keadaan itu.Pernah kakak saya datang ke rumah untuk melawat tapi dimarahi dan dihalau balik seolah-olah melanggar pantang larang terbesarnya. Malah 'hukuman' dikenakan untuk saya juga berat," katanya.

Dia yang berasal dari Selangor, tidak pernah menceritakan masalah rumah tangga dan penganiayaan yang berlaku ke atasnya kepada sesiapa pun termasuk adik beradik."Saya tidak mahu kesengsaraan yang ditanggung itu menjadi isu yang boleh memecahbelahkan keluarga. Lagipun saya malu untuk bercerita mengenai keburukan suami kepada mereka kerana bimbang dipandang rendah.Lantas saya hanya memendam kesedihan ini sendirian hingga pada satu saat ia tidak mampu untuk diselindungkan lagi," katanya.

Disebabkan tidak dapat lagi bersabar dengan keganasan dilakukan ke atasnya, Hani nekad untuk melepaskan diri daripada 'penjara hidup' berkenaan dan bertindak mencari perlindungan.

"Sebelum ini saya hanya bersabar atas segala tindakannya kerana memikirkan anak tapi akibat perlakuannya yang pernah memukul saya di hadapan anak, saya nekad meninggalkannya kerana bimbang anak juga akan mengalami nasib yang sama.Kini saya hanya berharap agar suami dapat melepaskan saya daripada ikatan yang menyebabkan hidup saya derita. "Biarlah saya hidup sendirian bersama anak sekiranya itu yang boleh mententeramkan hidup kami anak-beranak," katanya.

~~~~~~~~~~~~~~~~tribute to www.hmetro.com.my~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tolong lah wahai jejaka-jejaka, kekasih-kekasih wanita dan suami-suami sekalian..jika cinta itu telah tiada di hati mu..lepaskan lah mereka dari genggaman mu..lepaskan lah mereka seperti mana kamu lepaskan cinta kamu dari mereka..gugurkan lah hak mu dari terus menyeksa mereka..kerana sesungguhnya setiap perbuatan ada balasannya di akhirat..

0 comments: