Thursday, September 30, 2010

janji

Di keheningan pagi raya, kelihatan seorang lelaki sedang membongkok membersihkan sebuah kubur yang kelihatan agak lama. Walaupun kelihatan agak usang, kubur tersebut bersih dan terjaga rapi. Tanpa menghiraukan sesiapa, lelaki itu terus sibuk sambil tangannya yang kasar pantas mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh di sekitar kubur tersebut.

Setitik demi setitik air mata suam kelihatan menitis mengalir turun menuruni pipinya. Setelah selesai kubur tersebut dibersihkan, lelaki tersebut duduk bersila sambil membaca Yasin dan doa dipanjatkan. Selesai membaca Yasin, dicapainya bekas air berisi rendaman bunga mawar lalu dicurahkan ke atas batu nisan sambil tangannya menyapu-nyapu bersih batu nisan tersebut. “Mia, Selamat Hari Raya sayang. Abang datang lagi hari ni, macam biasa. Abang masih lagi sayangkan Mia dan abang akan sayangkan Mia hingga ke akhir hayat abang” lelaki tersebut tiba-tiba bersuara, sayu. Lelaki tersebut menarik nafas panjang. Matanya yang berair itu memandang ke arah batu nisan di kuburan itu dengan pandangan yang kosong.

Fikiran beliau mengimbau ke suatu masa sepuluh tahun yang lepas.

Sepuluh tahun lalu....

Tangan Mat menggenggam erat tangan Mia bagaikan tidak akan dilepaskannya. Keadaan Terminal Bas Putra yang penuh sesak dengan orang dan dalam keadaan tolak- menolak itu bagaikan tidak dapat menguraikan pasangan kekasih itu. Mata Mat merenung tajam ke mata Mia. “Abang, kenapa pandang Mia macam tu?” Mat hanya tersenyum. “Abang rasa berat hati untuk lepaskan Mia. Terasa macam abang tak akan dapat jumpa Mia lagi” jawab Mat.

“Jangan cakap macam tu, Mia balik kampung sekejap aje. Hari raya ke-5, Mia balik semula ke KL. Abang jangan risau la.”

Mat hanya tersenyum sahaja mendengar jawapan kekasihnya. Tangannya makin erat menggenggam tangan Mia.

“Tapi, abang janji, jangan lupakan Mia tau.” Mia berkata pada Mat sambil tersenyum.

“Abang janji sayang.” jawab Mat sambil tangannya makin erat menggenggam tangan Mia. Tiba-tiba kedengaran suara dari pembesar suara mengumumkan ketibaan bas memasuki terminal. Mat segera memimpin tangan Mia menuju ke bas yang berhenti di hadapan sekali sambil tangannya yang sebelah lagi menjinjing beg pakaian Mia. Tertera pada tingkap bas tersebut ‘No. 8 KL-JB’. Mat membaca pada tiket di tangannya. Memang sah inilah bas yang perlu Mia naiki. Kaki Mat melangkah naik ke tangga bas sambil memandu Mia menuju ke tempat duduk. Kelihatan seorang perempuan tua sedang duduk bersebelahan dengan tempat duduk Mia. Mat tersenyum lega.

“Nasib baik makcik ni yang duduk sebelah Mia, kalau lelaki, kenalah aku ikut Mia balik sekali,” bisik hati Mat. Mat segera memberi salam pada perempuan tua tersebut.

“Makcik, ni awek saya, Mia. Dia duduk sebelah makcik. Mintak makcik tolong tengok- tengokkan dia ye” sapa Mat. Mia dengan segera menghulurkan tangan pada makcik itu sambil memperkenalkan diri.

“Eloklah tu nak. Sekurang-kurangnya ada juga teman makcik berbual. Sila duduk nak,” jawab makcik tersebut sambil tersenyum. Setelah meletakkan beg Mia, Mat segera turun dari bas sambil diekori oleh Mia dari belakang. “Mia, bas dah nak bergerak. Abang pun tak boleh lama di sini. Bila Mia sampai kampung nanti, kirim salam abang pada mak dan ayah Mia. Jangan lupa pada adik Mia juga tau,” pesan Mat.

“Baiklah abang. Abang pun sama tau, kirim salam sayang Mia pada mak dan ayah abang,” jawab Mia kembali. Enjin bas tiba-tiba dihidupkan. Mia memandang ke arah Mat. Dengan cepat Mia memegang dan terus mencium tangan Mat. “Abang, Mia pergi dulu ye. Ingat pesan Mia tadi. Jangan lupakan Mia ye. Mia sayangkan abang.” Kata Mia sambil tersenyum. Mat hanya memandang ke arah Mia. Tangan Mia digengam erat. Perlahan-lahan Mat melepaskan sebuah ciuman pada dahi Mia. Muka Mia tiba-tiba menjadi merah. Mia tersipu-sipu malu. “ Mia, walau apapun terjadi, abang tetap sayangkan Mia hingga ke akhir hayat abang. Mia ingat kata-kata abang tu ye.” Mia hanya menganggukkan kepala sambil linangan air mata bergenang di matanya. “Mia akan ingat abang sampai bila-bila. Mia pergi dulu bang. Janji jangan lupakan Mia ye” jawab Mia sambil menarik tangannya dari tangan Mat yang bagaikan tidak mahu melepaskan tangan Mia dan terus melangkah masuk ke dalam perut bas. Pintu bas ditutup sambil bas tersebut bergerak perlahan-lahan keluar dari terminal sambil diperhatikan oleh Mat hingga hilang dari pandangan mata. Mat berdiri tegak bagaikan mengelamun. “Kenapa hatiku bagaikan ada sesuatu yang tak kena?” bisik hatinya sambil kakinya melangkah pergi ke ruang letak motorsikal. Setelah mengenakan topi keledar, Mat terus menunggang motorsikalnya keluar dari Terminal Bas Putra menuju ke rumah.

Keadaan ibukota malam itu bagaikan pesta dengan lampu berkilauan di kiri kanan jalan.
Tapi hati Mat direnggut risau mengenang apa yang tak pasti.

Di rumah Mat, lampu pelita bergemerlapan menanti ketibaan Aidilfitri. Mat pula berehat di luar rumah setelah penat membantu ibubapanya menyiapkan persiapan hari raya. Kelihatan kanak-kanak bising sambil bermain bunga api. Mat hanya memandang dengan pandangan kosong. Keriuhan kanak-kanak langsung tidak menarik perhatiannya. Hatinya yang tadi penuh kerisauan mula berdebar-debar bagai ada sesuatu yang akan berlaku. Mat bangun dan terus masuk ke rumah menuju ke biliknya. Tanpa berlengah, dia ke bilik air mengambil wuduk. Sejadah di bentangkan dan Mat terus menunaikan solat sunat sebelum masuk tidur. Namun Mat tidak boleh tidur.

Fikirannya melayang memikirkan Mia sahaja. Walaupun matanya tak mahu pejam, dipaksakan juga hingga terlelap. Pagi esoknya, Mat terbangun setelah azan Subuh berkemumandang. Setelah menunaikan solat Subuh, Mat ke dapur membantu ibunya menyiapkan juadah untuk hari raya. Setelah itu, dia bersama-sama abahnya ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Di rumah, setelah menjamu selera dan bermaaf- maafan, Mat termenung sambil merenung ke luar rumah melihat kanak-kanak gembira berhari raya. Tiba-tiba telefon bimbit Mat berbunyi. Mat mengambil telefonnya dan merenung ke arah telefonnya.

“Panggilan dari Johor.” Bisik Mat. “Hello. Assalamualaikum” jawab Mat.

“Waalaikumsalam. Abang Mat ye?” balas pemanggil itu. “Ini adik Mia, Mira,” pemanggil memperkenalkan diri dalam nada yang tersekat-sekat. “Abang Mat, Mira minta maaf mengganggu, tapi Mira nak beritahu Abang Mat, yang kak Mia dah tiada… … Bas kak Mia kemalangan malam tadi masa baru sampai ke Johor Bharu.” Kata Mira dengan nada yang tersedu-sedu. “Insyaallah, petang selepas asar ni nak dikebumikan” sambung Mira singkat. Mat hanya tersentak. Pandangannya kabur dan terus gelap. Kakinya bagaikan tak dapat lagi nak menampung berat badannya. Dengan cepat Mat duduk di sofa. Nafas Mat tersekat-sekat dan dadanya berombak kuat. Air matanya mula berlinang menitis membasahi pipi. Telefon bimbitnya terlepas dari tangan. “Astaghfirullahalazim. Ya Allah Ya Tuhanku,” hanya itu sahaja suara yang keluar dari bibir Mat. Melihatkan keadaan Mat, ibu Mat menerpa ke arah anak sulungnya. “Mak, Mia dah tak de, mak. Mia dah meninggal. Kemalangan bas pagi tadi” beritahu Mat dengan suara yang tersekat-sekat.

Mak Mat hanya dapat menarik nafas sambil terduduk di sebelah anaknya. Tiada suara yang keluar dari bibirnya, hanya air mata bercucuran membasahi pipi tuanya.“Mak, abah, Mat minta izin untuk pergi ke Johor, hari ini juga.” pinta Mat pada ibubapanya.

“Baiklah Mat, kau bawa kereta abah,” jawab ayah Mat

“Tak pelah abah, Mat pergi dengan motor Mat. Mat lebih selesa,” jawab Mat.

“Baiklah Mat. Tapi hati-hati,” pesan abah Mat.

Mendengar keizinan yang di beri, Mat segera berlari menuju ke biliknya untuk bersiap. Motornya sudah gagah tersedia menunggu untuk ditunggang. Motorsikal Kawasaki ER6F pemberian abahnya itu banyak mengimbau kenangan antaranya dengan Mia. Dengan sekali tendangan sahaja, enjin motorsikal Mat mengaum garang dan terus meluncur keluar melalui pintu pagar rumah sambil di perhatikan oleh ibubapa Mat. Perjalanan jauh tidak menjadi masalah pada Mat kerana sebagai ahli kelab motor, beliau banyak kali melakukan konvoi ke lokasi-lokasi yang jauh. Motorsikalnya juga diselenggara dengan baik membuat perjalanan berjalan lancar. Tepat jam 5 petang, Mat tiba di rumah Mia. Deruman enjin motorsikal Mat menarik perhatian orang ramai yang berada di rumah Mia. Melihatkan Mat datang, Mira segera meminta ayahnya membawa Mat masuk. Mat terus menerpa ke arah ayah Mia sambil mencium tangan ayah Mia. Dengan linangan air mata, ayah Mia memeluk Mat. “Mia dah tak ada Mat,” kata ayah Mia. “Mari tengok dia,” ajak ayah Mia.

Perlahan-lahan Mat melangkah menuju ke atas rumah Mia. Dari pintu rumah, kelihatan sekujur tubuh ditutupi kain batik sambil dikelilingi orang-orang sambil membaca Yasin. Kelihatan ibu Mia berteleku di sisi tubuh Mia sambil teresak-esak. “Ibunya, ini Mat. Tolong bukakan tutup muka Mia tu.” Kata ayah Mia. Ibu Mia memandang ke arah Mat sambil linangan air matanya makin mencurah-curah keluar. Tangannya perlahan-lahan membuka kain batik yang menutupi muka Mia. Mat menanti dengan hati yang berdebar-debar.

Setelah kain batik di selak, terserlahlah wajah Mia, kekasihnya yang amat dicintainya. Walaupun rohnya sudah tiada, wajah Mia tetap ayu, tetap cantik. Tanpa dapat ditahan, air mata Mat berlinang keluar membasahi pipi dan juga lantai. Mat membacakan Al- Fatihah dan doa untuk kekasih tercintanya. Keadaan menjadi sepi. Kesayuan mula terasa pada yang hadir. Mira hanya dapat menutup mukanya dengan telapak tangannya sambil teresak-esak.

Jenazah Mia di alihkan ke dalam pengusung. Mat memegang kayu pengusung yang di hadapan sekali. Perlahan-lahan pengusung dimasukkan ke dalam van jenazah. Setelah van jenazah meninggalkan rumah menuju ke tanah perkuburan, hujan mulai turun. Setelah selesai upacara pengkebumian, Mat meminta izin dari ayah Mia untuk bertafakur seketika. Tinggallah Mat seorang diri melutut di sisi kubur Mia. Hujan lebat membasahi bumi tidak di hiraukan. Linangan air mata Mat masih tidak berhenti.

“Mia, abang minta maaf jika abang ada buat salah dan silap pada Mia,” kata Mia dengan tersedu-sedu. “Abang sangkakan hubungan kita akan berakhir sebagai suami isteri, tapi takdir menentukan segala-galanya. Abang tak boleh melawan takdir sayang,” sambung Mat. “Abang pernah berjanji untuk menyayangi Mia hingga ke akhir hayat abang, dan abang akan tepati janji abang itu, walaupun Mia tiada lagi di sisi abang. Bagi abang, Mialah kekasih abang yang pertama dan yang terakhir.”

Linangan air mata dan sedu Mat makin bertambah. Tangannya menggenggam kuat tanah kubur Mia. “Abang berjanji, abang akan tetap sayangkan Mia dan abang takkan lupakan Mia hingga ke akhir hayat abang,” kata Mat sambil berdiri. Perlahan-lahan Mat mengatur langkah longlai meninggalkan tanah perkuburan dalam hujan yang makin mencurah-curah.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Kicauan burung menghentikan lamunannya. Hari pun sudah menjelang tengahari. “Mia, abang balik dulu Mia. Jauh lagi perjalanan abang ke Kuala Lumpur. Motor kita pun abang masih guna lagi. Masih boleh bawa abang berjumpa Mia hari ini. Macam manapun, abang tetap sayangkan Mia hingga ke hembusan nafas abang yang terakhir. Mia ingat tu ye sayang.” Kata Mat dengan lembut. Tangannya menabur bunga-bunga yang dipotong rapi ke atas kubur Mia. Setelah itu Mat bangun sambil mengemaskan barang-barang dan menuju ke arah motornya. Walaupun sudah sepuluh tahun berlalu, motorsikal pemberian abah Mat masih kukuh lagi.

Perlahan-lahan Mat menunggang motornya meninggalkan pusara kekasih tercintanya.

Ketika Mat keluar dari simpang tanah perkuburan, tiba-tiba sebuah kereta dengan laju keluar dari selekoh dan terus merempuh Mat tanpa sempat mengelak. Mat tercampak jauh. Darah memercik membasahi motor Mat. Tubuh Mat terbaring di atas jalan raya. Matanya memandang ke arah langit sambil mulutnya terkumat-kamit mengucap dua kalimah syahadah. Pandangannya mulai kabur, kemudian kelam, kelam dan terus gelap. Nafas Mat berombak deras, kemudian perlahan dan perlahan. Apa yang kelihatan di anak matanya hanyalah raut wajah ayu Mia ketika dia mencium dahi Mia sepuluh tahun yang lepas.

Setelah ambulan tiba, Mat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, tidak jauh dari kubur Mia. Akhirnya Mat dapat mengotakan janjinya iaitu untuk menyayangi kekasihnya, Mia, hingga ke hembusan nafasnya yang terakhir.

0 comments: