Thursday, May 20, 2010

bila menjadi barah

Barah atau lebih dikenali sebagai Tumor otak merupakan ketumbuhan yang berasal dari sel-sel otak atau dari struktur di sekelilingnya.

Barah/Tumor otak ini diklasifikasikan kepada:

  • Tumor Benigna (bukan kanser).
info: Tumor benigna tumbuh secara perlahan-lahan dan ia tidak merebak ke bahagian-bahagian lain dalam badan. Jika tumor ini dapat dibuang dengan jayanya, ia tidak lagi menimbulkan apa-apa masalah. Walau bagaimanapun, jika tumor itu terletak berdekatan dengan mana-mana struktur otak yang penting, ia boleh menimbulkan ancaman kesihatan yang serius kerana sesuatu ketumbuhan yang membesar boleh menyebabkan beberapa komplikasi atau boleh mengancam nyawa. Kadangkala ianya menimbulkan kesulitan untuk dibuang kerana kedudukannya itu.
  • Tumor Malignan (kanser).
info: Tumor malignan pula dengan sel-sel ketumbuhan ini berkemampuan untuk merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain (kanser). Ia menyerang dan merebak dengan begitu cepat. Walau bagaimanapun, tumor otak malignan ini jarang sekali merebak keluar dari sistem saraf pusat1.


Terdapat 2 kategori tumor otak :
  • Tumor otak primer - tumor ini berasal atau tumbuh dari otak.Ianya mungkin tumbuh dan terbentuk di sesuatu tempat yang kecil atau ia boleh merebak ke kawasan-kawasan berdekatan.
  • Tumor otak sekunder (dikenali sebagai metastatik) - ia berasal atau merebak dari bahagian-bahagian badan yang lain seperti paru-paru, buah pinggang, payudara dan kulit yang kemudiannya merebak melalui saluran darah ke otak untuk membentuk tumor otak sekunder (seperti yang dinyatakan tadi tempat asalnya ialah kanser paru-paru, payudara, usus dan kulit).
Tumor secara langsungnya boleh memusnahkan sel-sel otak dan secara tidak langsungnya memusnahkan sel-sel apabila berlakunya keradangan, mampatan akibat ketumbuhan tumor, kebengkakan dan peningkatan tekanan dalam otak (tekanan intrakranium).

Tumor ini boleh menyerang mana-mana satu dari 3 bahagian otak:
  • serebrum
  • serebelum
  • pangkal otak
Bagaimana terbentuknya tumor ini?

Tubuh manusia terdiri dari sel-sel. Sel-sel ini tumbuh dan membiak dengan cara yang tersusun untuk membentuk sel-sel baru dan mengekalkan badan yang sihat supaya ia dapat berfungsi dengan baik. Apabila sel-sel ini hilang kemampuan untuk mengawal pertumbuhannya, ia akan tumbuh dengan bebasnya. Sel-sel yang tumbuh berlebihan tanpa dikawal ini akhirnya menjadi tumor.

Organ otak mengawal beberapa bahagian dan fungsi dalam badan. Otak mengawal proses ingatan dan pembelajaran, deria (mendengar, melihat, menghidu, merasa dan menyentuh) dan emosi. Ia juga mengawal bahagian-bahagian badan yang lain termasuk otot-otot, organ dan saluran darah. Otak dilindungi oleh tengkorak, meninges (lapisan yang terdiri dari 3 membran) dan juga oleh cecair serebrospina. Jika tumor didapati di mana-mana bahagian ini, ia akan mempengaruhi kemampuan otak untuk berfungsi dengan normal.

Apakah penyebab tumor otak?

Penyebab tumor otak tidak diketahui, tetapi para pengkaji telah cuba mencari jawapan kepada masalah ini. Terdapat banyak bidang yang diberi tumpuan oleh para penyelidik untuk mengenal pasti sebab-sebab berlakunya tumor otak ini. Faktor-faktor seperti genetik, keturunan, persekitaran dan bahan-bahan kimia adalah antara bidang-bidang yang diberi perhatian serius.


Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko tumor otak?

Tidak terdapat faktor-faktor risiko yang jelas di kalangan pesakit-pesakit yang menghidap tumor otak. Dengan mengkaji beberapa kes pesakit tumor otak, didapati sesetengah jenis tumor otak lebih kerap berlaku di kalangan pekerja-pekerja kilang penapis minyak, industri-industri pembuatan bahan-bahan getah dan dadah. Ahli-ahli kimia dan para pengawet adalah antara mereka yang termasuk dalam golongan ini. ~mengikut kajian yang telah dijalankan~

Bagaimanakah insidens penyakit ini?

Tumor otak boleh berlaku pada semua lapisan umur, walau bagaimanapun, kajian telah menunjukkan bahawa terdapat 2 kumpulan umur yang lebih biasa mendapat masalah ini, iaitu kanak-kanak (3 -12 tahun) dan golongan dewasa (40 -70 tahun). ~tapi,kalau Allah dah nak uji , umur berapa pun boleh kena juga kan?~

Apakah gejala-gejala tumor otak?

Tumor otak akan menimbulkan pelbagai gejala. Ia bergantung kepada bahagian mana ianya berlaku. Sakit kepala merupakan gejala tumor otak yang paling biasa. Gejala-gejala berikutnya mungkin merupakan petanda tumor kerana ia boleh meningkatkan tekanan di dalam otak:

  • Sakit kepala yang teruk terutamanya di sebelah paginya berbanding dengan waktu tengah hari.
  • Sakit kepala yang berterusan dan diikuti dengan loya dan muntah.
  • Sakit kepala yang menjadi semakin teruk ketika batuk, bersin dan menunduk.
Perubahan tingkah laku seperti bersikap 'tidak apa', hilang ingatan, hilang tumpuan dan kekeliruan mungkin merupakan tanda-tanda tumor otak. Ini kerana setiap bahagian otak mengawal fungsi-fungsi tertentu. Jadi, apabila terdapat tumor di sesuatu bahagian maka ia akan mempengaruhi keupayaan fungsi di bahagian tersebut. Bagi sesetengah kes, jika pesakit terjatuh ia boleh mencetuskan sawan yang disebabkan oleh tumor. Pengesanan dan rawatan awal mungkin boleh meningkatkan kadar kemandirian pesakit. Jika gejala masih berterusan berjumpalah doktor pakar neurologi atau doktor pakar kanser.

Bagi bayi yang menghidapi kanser selalunya menunjukkan gejala-gejala berikut :

  • Ubun-ubun membonjol (bukaan yang tedapat pada tengkorak disebabkan oleh proses penulangan yang tidak lengkap).
  • Lilitan kepala membesar.
  • Tidak terdapatnya refleks merah di dalam mata.
Di kalangan kanak-kanak, gejala berikut mungkin berlaku:
  • Loya dan muntah.
  • Gangguan penglihatan seperti penglihatan berganda, juling, kebutaan.
  • Gangguan makan.
  • Sebelah tangan menjadi lemah dan kekok.
  • Perubahan pada gaya berjalan (berjalan terencot-encot), ataksia (terhuyung-hayang).
  • Kesukaran untuk berjalan.
  • Keletihan dan terasa lemah badan.
  • Peningkatan berat badan.
  • Perubahan pada endokrin.
Orang dewasa pula akan menunjukkan beberapa gejala seperti berikut:
  • Kerap diserang sakit kepala, loya atau muntah.
  • Epilepsi (sawan, kekejangan otot dan tidak sedarkan diri).
  • Gangguan percakapan.
  • Kesukaran untuk menggerakkan kaki dan tangan.
  • Hilang ingatan ke atas hal-hal yang terbaru dan kemorosotan proses mental.
  • Hilang penglihatan (terutamanya penglihatan periferi).
  • Hilang daya imbangan terutamanya jika ia dikaitkan dengan sakit kepala, kelemahan atau kekebasan sebelah badan.
  • Gangguan ingatan atau perubahan personaliti.
Apakah yang selalunya dilakukan selepas pembedahan dan apakah komplikasi yang seringkali terjadi?

Selalunya doktor akan memberi terapi ubat steroid atau ubat antikonvulsi atau kedua-duanya sekali sebelum atau selepas pembedahan otak. Ubat ini berguna untuk mengatasi gejala-gejala yang berkaitan dengan bengkak otak yang selalunya berlaku selepas pembedahan. Pesakit mungkin akan mengalami beberapa kesan sampingan sementara, seperti tekanan darah tinggi, pengekalan air, jangkitan, kesukaran untuk tidur di waktu malam, perubahan mood dan kemurungan. Sekali-sekala paras gula dalam darah akan meningkat.

Untuk memantau kesan-kesan sampingan ini, dapatkan pemeriksaan doktor selalu. Kesan-kesan sampingan ini adalah sementara dan akan beransur-ansur hilang. Adalah perlu bagi supaya sentiasa membawa bersama kad steroid (dapatkan dari jururawat atau doktor) ketika masih dirawat dengan ubat tersebut. Ini perlu, kerana, pesakit tidak boleh menghentikan dengan sendiri pengambilan ubat steroid ini tanpa nasihat doktor. Perbuatan begini boleh membahayakan diri. Juga perlu ingat bahawa selepas terapi sinaran, mungkin terasa sangat letih. Berehat adalah penting. Di samping itu, terapi sinaran ini boleh menimbulkan masalah kulit di bahagian yang dirawat. Kulit kelihatan seperti terkena selaran matahari, merah dan gatal. Adalah penting mendedahkan kawasan yang dirawat itu kepada udara seberapa lama yang boleh dan lindunginya dari cahaya matahari. Doktor mungkin mencadangkan penggunaan ubat salap dalam bentuk losyen atau krim. Ubat-ubat lain adalah dilarang tanpa nasihat doktor.

Berikutan dari rawatan sinaran atau kemoterapi ini, pesakit tumor otak mempunyai risiko mendapat penyakit leukemia atau tumor tersebut mungkin berulang kembali di kemudian hari nanti. Mata juga mungkin turut terlibat, yang membawa kepada terjadinya katarak.

Lawatan susulan adalah penting. Selepas pembedahan atau rawatan-rawatan lain doktor mungkin meminta pesakit melalui beberapa ujian untuk mengetahui keberkesanan rawatan yang telah diberi dan memantau sebarang kemungkinan berlaku semula tumor tersebut . Doktor juga akan memaklumkan bilakah prosedur-prosedur pengimbasan atau ujian-ujian lain perlu dijalankan. Jika pesakit tidak memiliki maklumat ini, sila hubungi atau berjumpa doktor. Juga, jika terdapat apa-apa masalah kesihatan yang luar biasa, maklumkan kepada doktor segera.

Apakah rawatan yang ada untuk penyakit ini?

Dadah atau ubat-ubatan yang sering digunakan untuk merawat tumor otak termasuklah:
  • Dadah kemoterapi
  • Ubat steroid
  • Ubat anti-konvulsi
  • Diuretik
  • Analgesik
  • Antasid atau penyekat histamin
  • Kemoterapi
Kemoterapi menggunakan dadah-dadah tertentu untuk memusnahkan sel-sel tumor. Dadah yang digunakan dalam kemoterapi akan menyekat keupayaan sel-sel tumor untuk membiak dengan menghenti atau mengganggu putaran selnya (pola biasa pembentukan sel). Kemoterapi akan memberi kesan kepada kedua-dua jenis sel, yang normal dan yang bertumor, walaupun kesan sampingan setiap dadah itu berbeza-beza. Ia seringkali digunakan di kalangan pesakit kanak-kanak untuk melambatkan terapi sinaran kerana otak mereka mudah rosak bila terdedah kepada sinaran. Ia juga digunakan untuk merawat tumor yang berulang. Prosedur ini mungkin dilakukan secara bersendirian atau digabungkan untuk merawat tumor malignan.

Ubat-ubatan

Ubat steroid seperti dexamethasone dan ubat antikonvulsi digunakan untuk pesakit tumor otak, jika perlu. Steroid ini digunakan untuk mengurangkan keradangan tisu-tisu serta mengawal kebengkakan yang terjadi di sekeliling tumor otak. Ubat anti konvulsi seperti phenytoin diberi untuk mencegah serangan sawan dan selalunya diberi selepas pembedahan otak dijalankan. Ubat-ubatan lain yang mungkin juga diberi termasuklah:
  • Ubat diuretik osmosis seperti mannitol untuk mengecilkan bengkak otak.
  • Analgesik atau ubat menahan sakit untuk mengawal kesakitan.
  • Antasid atau penyekat histamin untuk mencegah ulser stres.
RAWATAN BUKAN FARMAKOLOGI

Rawatan berikut merupakan kaedah-kaedah utama yang dilakukan:
  • Pembedahan
  • Terapi sinaran
  • Imunoterapi
  • Pembedahan
Pembedahan merupakan rawatan yang sangat biasa dilaksana untuk pesakit tumor otak. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan keseluruhan tumor. Sebelum sesuatu pembedahan itu dilakukan, pesakit perlu melalui beberapa ujian tertentu seperti imbasan CT, MRI atau PET bagi menentukan kedudukan sebenar tumor tersebut.

Terdapat beberapa prosedur pembedahan:
  • Biopsi - sedikit sampel akan diambil untuk membolehkan diagnosis yang tepat dibuat.
  • Kraniotomi - di mana doktor pakar bedah akan memotong sebahagian dari tulang tengkorak untuk membedah otak yang terlibat.
Sejenis prosedur penyimpangan dilakukan untuk melegakan tekanan dalam otak (interkranial) dengan mengalirkan cecair yang berlebihan atau yang tersekat. Ini kerana bagi sesetengah kes, pesakit akan mengalami tekanan interkranial yang tinggi. Selepas mengeluarkan tumor, tulang yang dipotong tadi akan diletak kembali atau sekeping logam atau fabrik akan diletak untuk menutup lubang yang ditebuk atau bukaan yang dibuat pada tengkorak. Bagi tumor otak yang telah merebak, pembedahan dijalankan untuk membuang kesemua ketumbuhan setempat. Tumor yang telah merebak ke tisu-tisu otak mungkin juga akan dibuang untuk mengurangkan saiznya. Walau bagaimanapun, jika terlalu banyak perebakan itu telah dikesan, rawatan mungkin hanya ditumpukan kepada usaha untuk melegakan kesakitan atau mengurangkan gejala-gejalanya sahaja.

Terapi Sinaran


Prosedur ini melibatkan penggunaan x-ray yang dihasilkan dari sebuah mesin yang dipanggil linear acceleretor atau menggunakan mesin kobalt untuk memusnahkan sel-sel kanser dan mengecutkan tumor. Lazimnya, prosedur ini melibatkan bukan sahaja tisu-tisu tumor tetapi juga tisu-tisu yang sihat. Walau bagaimanapun, tisu-tisu yang normal ini akan memulih semula dirinya. Terapi sinaran ini boleh diberikan kepada pesakit sebelum ataupun selepas kemoterapi, sebelum atau selepas pembedahan atau diberikan bersama dengan rawatan dadah.

Biasanya, ia dijalankan selepas pembedahan jika tumor tidak dikeluarkan kesemuanya ataupun untuk mencegah sel-sel tumor dari merebak ke lain-lain bahagian badan. Otak kita hanya mampu menerima sinaran pada jumlah tertentu sahaja. Doktor pakar onkologi akan menentukan paras dos sinaran yang selamat untuk merawat sesuatu tumor. Sebelum rawatan sinaran ini dimulakan, seseorang doktor akan memeriksa rekod-rekod perubatan pesakit bagi membolehkannya merancang sesuatu pelan rawatan berasaskan keadaan pesakit tersebut. Doktor mungkin juga akan menjalankan pemeriksaan menggunakan pengimbas tertentu atau x-ray untuk menentukan kedudukan tumor yang tepat.

Imunoterapi

Kaedah ini masih lagi di peringkat percubaan klinikal. Ia menggunakan bahan-bahan yang dihasilkan oleh badan kita sendiri ataupun dibuat di dalam makmal untuk merangsang, menghantar atau mengekalkan ketahanan semulajadi badan menentang penyakit. Ia bertindak dengan mengubah persekitaran biologi atau gelagat sel-sel tumor menjadikannya sukar untuk tumbuh membiak.

RAWATAN PERTOLONGAN CEMAS

Pertolongan cemas mungkin diperlukan ketika atau untuk pesakit yang tidak sedarkan diri atau sawan:

Untuk pesakit yang tidak sedarkan diri, yang perlu dilakukan ialah:
  • Dapatkan bantuan seseorang untuk memanggil perkhidmatan kecemasan.
  • Periksa ABC pesakit - A (airway)- saluran udara, B (breathing) - pernafasan dan C (circulation) iaitu peredaran darah. Jika pesakit tidak bernafas atau nadi serta denyutan jantungnya tidak dapat dikesan atau dirasai, mulakan tatacara CPR - resusitasi kardiopulmonari (jika anda dilatih).
  • Pindahkan pesakit ke tempat yang tidak merbahaya.
  • Longgarkan pakaiannya yang ketat terutamanya di sekeliling leher mangsa.
  • Baringkan mangsa pada kedudukan pemulihan.
  • Biarkan mangsa sentiasa berada dalam keadaan panas sehingga bantuan perubatan tiba.
Untuk sawan, lakukan perkara-perkara berikut:
  • Dapatkan bantuan seseorang untuk memanggil perkhidmatan kecemasan.
  • Baringkan pesakit di atas lantai atau tanah.
  • Letakkan ia dalam keadaan mengiring bagi mencegah muntahnya memasuki paru-paru.
  • Jangan masukkan apa-apa benda ke dalam mulut mangsa.
  • Longgarkan segala pakaian mangsa yang ketat.
  • Pastikan mangsa tidak mencederakan dirinya sendiri.
  • Setelah sawannya beransur pulih letakkannya dalam kedudukan yang lebih selesa.
  • Jika mangsa bukanlah seorang pesakit epilepsi hantarkannya ke hospital yang berdekatan
Apakah jenis ujian yang dilakukan untuk mengesan tumor otak?

Jika doktor mengesyaki seseorang pesakit itu mendapat tumor otak melalui sejarah perubatan yang diambil atau melalui gejala yang berlaku, ia mungkin menasihati pesakit untuk melalui beberapa ujian atau pemeriksaan bagi menentukan diagnosis.

Berikut ialah beberapa pemeriksaan yang biasanya dilakukan untuk mendiagnos tumor otak:

Pemeriksaan Neurologi: ini termasuk ujian mental dan pemeriksaan mata, ujian pendengaran, kuasa dan pemeriksaan saraf kranial, ujian kederiaan dan refleks kaki dan tangan. Ia juga melakukan ujian-ujian untuk memeriksa tahap kewaspadaan, refleks, imbangan dan koordinasi, kekuatan otot, pendengaran, kederiaan dan pergerakan. ~done~

Pemeriksaaan menggunakan alat pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan -Computed Tomographic Scan)
: Alat ini merupakan sejenis x-ray yang menggunakan komputer untuk memaparkan gambar struktur otak dengan terperinci. Teknik ini akan membantu seseorang doktor untuk mengesan kedudukan dan saiz tumor berkenaan. Ia juga dapat mengesan sesuatu kebengkakan, pendarahan dan lain-lain keadaan yang berkaitan. ~done~

Pengimejan Resonan Magnetik atau MRI (Magnetic Resonance Imaging): Pengimbas MRI menggunakan gelombang magnet untuk menghasilkan gambar otak. Ia lazimnya dapat menghasilkan gambar tumor otak dengan lebih jelas. Ini akan membantu seseorang doktor untuk membentuk imej 3 dimensi tumor berkenaan.

Biopsi: Kaedah pemeriksaan ini dilakukan untuk mengesahkan kewujudan tumor otak. Di samping itu juga, ia akan menentukan jenis histologi tumor itu. Sedikit sampel akan diambil dari tumor tersebut bertujuan untuk menentukan diagnosis yang sebenar.

Pengimbas PET (Positron Emission Tomography): Alat pengimbas PET menggunakan bahan gula yang dirawat dengan bahan radioaktif - deoksiglukosa. Bahan ini disuntik ke dalam vena pesakit dan proses pengimbasan dilakukan. Tatacara pengimbasan ini mengambil masa antara 1 hingga 4 jam. Pola gula yang diserapkan ke dalam sel otak akan diamati untuk mengesahkan kewujudan sel-sel tumor. ~woaa~

Ujian-ujian lain:
  • Filem x-ray kepala dan tengkorak.
  • Elektroensefalogram (EEG) sejenis alat digunakan untuk merakam aktiviti pengaliran elektrik ke beberapa bahagian otak yang dipanggil alat ensefalograf. Alat ini akan mengesan struktur tumor di dalam otak.
  • Pengimbas otak radioisotop.
Apa prognosis bagi tumor otak?

Peluang untuk baik atau sembuh (prognosis) dan pilihan rawatan yang akan diberi banyak bergantung kepada jenis tumor otak yang terjadi dan keadaan kesihatan pesakit keseluruhannya. Malangnya, kadang-kadang tumor benigna pun boleh menimbulkan masalah kerana tumor yang terjadi itu boleh menyebabkan tekanan dan kerosakan pada otak. Secara globalnya, tumor otak yang malignan di kalangan orang dewasa tidak boleh disembuhkan. Kebanyakan mereka yang dirawat akan meninggal dunia dalam masa 2 tahun dan bagi mereka yang enggan dirawat akan meninggal lebih awal lagi. Prognosisnya di kalangan pesakit yang melalui pembedahan adalah lebih baik terutamanya selepas tumor itu dibuang sepenuhnya.

Bagaimanakah kita boleh mencegah dari berlakunya tumor otak ini?

Tidak ada sebarang garis panduan atau peraturan untuk mencegah tumor otak dari berlaku. Cuma kita perlu mengawasi gejala-gejala yang timbul yang mungkin menandakan wujudnya tumor di dalam otak. Jika ini berlaku bertindaklah segera dengan berjumpa doktor dan dapatkan pemeriksaan yang diperlukan.

0 comments: