Tuesday, June 15, 2010

bila sehari-hari datang tanpa henti
bersama kunjungan sinar pagi cahaya mentari
memberi harapan pada yang menanti
kita bangun mengagah diri
sembah sujud tidak dilupai
meneruskan perjuangan diri
menggapai impian yang tersimpan rapi
jauh di lubuk yang paling dalam di hati

namun apakah semua nya milik kita
harta, bahagia, kerjaya dan cinta
yang terang-terang hanya lah pinjaman sementara
dari Yang Maha Esa
tapi kita tetap tak putus-putus asa
untuk terus yakin dan berusaha
untuk memilikinya
dengan keinginan ia menjadi hak mutlak sepenuhnya

biar pun kadang kala kita terlupa
sebenarnya takdir telah tertulis
bahawa ia bukan milik kita
walaupun kita menangis
meratap semahu nya
tetapi ia tetap habis
di situ saja..

~mungkin sebenarnya ia memang tak pernah jadi milik kita
dan itu kenyataan yang harus kita terima
kerana apa yang bukan milik kita
tidak akan pernah kita miliki
meski pun ia sangat-sangat menghampiri
meski pun kita bermati-matian berusaha demi nya~

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikaNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (QS. Al-Hadid : 22-23)

Monday, June 14, 2010

Entri ini untuk menceritakan sedikit sebanyak tentang perbezaan kenduri kahwin orang biasa dan kenduri kahwin orang kaya berdasaarkan pengalaman-pengalaman mereka yang telah melaluinya.

Seperti yang semua sedia maklum, orang biasa yang dimaksudkan adalah orang yang selalunya boleh dikatakan kurang berada yang hanya membuat kenduri kahwin di rumah, tidak di dewan besar atau di hotel yang bertaraf berbintang-bintang. Manakala orang berada atau lebih senang dipanggil orang kaya sering menjadikan tempat untuk mengadakan kenduri kahwin di dewan-dewan atau hotel-hotel mewah.

Di tempat bertaraf mewah memang menarik dan serba serbi canggih. Makanan terhidang depan mata, siap ada napkin, bunga terletak indah di tengah meja, makanan diletakkan dalam bekas cantik. Turut dihidangkan sekali seperti kopi, teh dan pemanis mulut. Kerusi juga beriben dan beralas indah.

Namun sering kali terdengar rungutan apabila sebagai tetamu undangan terpaksa menunggu giliran untuk masuk ke dewan dan letih menunggu berjam-jam sehinggakan perut mula berbunyi kuat tanpa henti menandakan perut yang sudah kelaparan. Sudahlah terpaksa datang awal untuk mencari tempat letak kereta(kalau lambat memang selalunya tidak ada tempat) dan nak masuk pula kena berbaris seperti budak sekolah rendah untuk masuk ke dewan. Tidak lupa juga wajibnya membawa sekali kad undangan sebagai tanda anda memang sah dijemput hadir, jika tidak..jangan harap lah anda dibenarkan masuk dengan alasan hanya yang dijemput sahaja dibenarkan masuk ke dewan untuk menghadiri kenduri kahwin tersebut. Kemudian , jika tiada siapa yang datang membantu anda terpaksa pula melilau mencari tempat duduk anda yang sepatutnya yang entah di mana letaknya di dalam dewan itu. Kalau tempat duduk bebas lebih mudah, tapi yang ada nombor yang menjadi masalah. Nak tak nak anda terpaksa berlegar-legar mencari tempat duduk sehingga jumpa. Kalau nasib baik ada penyambut tetamu cekap, lekaslah dapat duduk. Jika tidak macam apa entah terhegeh-hegeh mencari tempat duduk, lebih malu jika disaksikan oleh tetamu lain yang sudah lama hadir di situ.

Pasti ada yang terfikir, biasanya majlis yang mewah pasti ada penyambut tetamu. Tak kan lah boleh jadi macam itu? Memang kadang kala ada penyambut tetamu, tetapi kalau penyambut tetamunya letak yang cantik tapi tak tahu buat kerja macam mana? Pakai cantik-cantik, berbaris tepi pintu dan asyik tersenyum kepada tetamu. Itu sahaja yang mereka buat.Bukan hendak tolong tunjuk kan kepada tetamu tempat duduk tapi sibuk bergambar,bersalam sambil bergesel-gesel pipi dengan yang bukan muhrim, menyapa kenalan mereka yang baru hadir, berborak-borak sesama mereka dan macam-macam lagi kerenah nya.

Sudah lah geram dengan keadaan itu, tambah pula apabila kita sudah berbaris panjang, tiba-tiba ada pula hamba Allah jumpa kawan dia sepasang suami isteri, bersalam kemudian disuruh masuk barisan di hadapannya. Kemudian datang seorang lagi, juga disuruh masuk, sehingga genap tiga pasangan kawan mereka memotong barisan. Amboi-amboi..melampau sungguh.Boleh sakit hati dibuatnya Sekurang-kurangnya hormatkan tetamu lain. Ini tidak, mentang-mentang mereka itu kawan mereka, orang kenal, mereka ingat mereka boleh buat sesuka hati.

Itu cerita di luar dewan.Di dalam dewan pula, memang tak disangkalkan suasananya memang cantik. Pokok bunga di sana sini, layar pun ada untuk tetamu yang duduk jauh dari pelamin. Tapi sayangnya dek kerana pokok-pokok bunga yang tinggi menjulang dan melingkar panjang dah macam dalam hutan, ada sebahagian tetamu terlindung, yang kelihatan hanya hujung kepala pengantin, tiang pelamin dan kepala tetamu lain. Itu lah sedikit sebanyak kisah kenduri kahwin orang kaya.

Kalau kenduri kahwin orang biasa pula, selalu kenduri diadakan di hadapan rumah dengan menggunakan khemah kenduri kahwin.Tuan rumah sambut tetamu tanpa perlu tetamu beratur panjang semua.Bersalaman dengan tuan rumah dan terus dijemput masuk.Makanan pula dihidang secara bufet. Ada yang katering dan ada juga yang masih gotong royong memasak secara tradisional.Paling kurang ada lima enam jenis lauk dan buah-buahan sebagai pencuci mulut, termasuk juga disediakan teh tarik, kopi O, bubur kacang dan macam-macam lagi.

Tetamu boleh seronok makan sambil berbual-bual tengok pengantin bersanding. Selalu selepas bersanding, pengantin dan ibu bapa datang bawah khemah menyapa tetamu sambil mengucapkan terima kasih dan bersalaman. Tidak payah berbaris dan bersusah payah seperti di kenduri orang kaya kerana di majlis kenduri orang kaya, pengantin dan tuan rumah tunggu depan pintu, apabila habis tetamu kenamaan beredar, mereka pun lesap. Tinggal tetamu lain terkapai-kapai mencari jalan pulang.

Dan selalu nya pun, pada majlis kahwin orang biasa, kita dibekalkan buah tangan, sebuah beg kertas penuh dengan kuih tradisional, gula-gula, kek dan sapu tangan dan bunga telur yang cantik.Semua yang hadir dapat termasuk lah kanak-kanak kecil. Tetapi di kenduri orang kaya pula, ada yang pulang dengan tangan kosong.Yang dapat buah tangan hanya lah mereka yang berpangkat tinggi atau yang dipanggil VVIP/VIP..konon-kononnya hanya orang kenamaan sahaja yang layak dapat.Perlu ke nak diskriminasi sampai tahap macam tu?

Jadi sebagai pengajaran, tak perlu lah rasa rendah diri jika tidak dijemput ke majlis kahwin orang kaya, jangan rasa terhina bila asyik ke majlis orang biasa. Kaya atau biasa bukan ukurannya. Yang penting jemputan tuan rumah dipenuhi kerana kita semua ni sama di sisi Allah. Yang berbeza di dunia hanyalah pangkat, darjat dan kemewahan yang juga dianugerahkan Allah.

Entah lah..terpulang lah pada tanggapan masing-masing..

~peace..no war..xoxo~

Kedua orang tua mempunyai kewajipan mendidik dan mengajar anaknya berbuat baik dalam pergaulan serta adab sopan dalam hidup berumahtangga dengan suaminya. Mengenai ini ada diriwayatkan bahawa Asma' binti Kharijah Fazari berkata kepada anaknya sewaktu perkahwinan anaknya dengan berkata:

" Hai anakku, kini engkau telah keluar dari sarang tempat engkau dilahirkan sehingga menjadi besar. Kini engkau mesti beralih ke suatu tempat dan rumah yang belum kau kenal dan engkau mesti berkawan dengan seoarang yang belum di kenali. Itulah suamimu, jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi langit untukmu. Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia akan menjadi tiang untukmu. Jadikanlah dirimu pengasuhnya, nescaya ia akan menjadi hambamu. Janganlah engkau menghimpunkan untuknya berbagai kesukaran, sebab itu akan membuatkan ia meninggalkanmu. Janganlah engkau terlampau jauh daripadanya, nanti ia akan melupakanmu. Tetapi kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan sekiranya ia menjauhimu, jauhilah ia dengan baik, peliharalah suamimu, hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah suamimu itu mencium sesuatu dari dirimu melainkan yang harum, jangan pula ia mendengar melainkan yang enak, jangan pula ia melihat melainkan yang indah dari diri mu."


Kata-kata yang merupakan kumpulan adab sopan wanita perlu dipanjangkan iaitu
isteri hendaklah merupakan tiang utama di tengah - tengah rumahnya.
Isteri itu hendaklah sentiasa di bilik rumahnya,
menetap ditempat perkakas anyamannya,
tidak banyak turun naiknya ataupun keluar.
Ia mesti kurang berbicara terhadap tetangganya.
Janganlah memasuki rumah tetangganya itu
melainkan didalam keadaan yang mengharuskan ia masuk di situ.

Isteri hendaklah menjaga suaminya, baik sewaktu ia pergi ataupun ketika ia ada di rumah. Hendaklah diusahakan agar suaminya gembira dalam segala perkara yang dihadapinya.
Jangan sekali-kali isteri mengkhianati dirinya sendiri ataupun harta suaminya.
Jangan pula isteri itu keluar dari rumahnya melainkan dengan izin suaminya.
Jika telah menerima keizinan dan terpaksa keluar, maka hendaklah isteri itu berjalan bersembunyi-sembunyi, berpakaian yang sederhana, tidak mendedahkan tubuh dan pakaiannya.
Hendaklah selalu di cari tempat-tempat yang lengang bukannya tempat lalulintas orang ramai sehingga berdesak-desakkan.
Ia mesti menghindarkan diri dari bercakap-cakap dijalanan dengan lelaki bukan mahram.

Yang wajib diutamakan oleh isteri itu ialah kebaikan keadaannya sendiri serta mengatur dan mentertibkan keadaan rumahtangganya. Selain itu mestilah rajin melakukan ibadat, sembahyang serta puasa dan lain-lain yang menjadi kewajipan dirinya.

Apabila ada kawan suaminya meminta izin dan sedang berada di hadapan pintu, tetapi di masa itu suaminya tiada, maka tidak perlulah ia bertanya ataupun bercakap - cakap dengannya. Hendaklah ia cemburu pada dirinya sendiri dan juga perasaan cemburu terhadap suaminya. Seorang isteri hendaklah puas dengan apa yang ada pada suaminya dan apa sahaja yang direzekikan oleh Allah Taala kepadanya.

Ia mestilah mendahulukan hak suaminya atas haknya sendiri serta hak keluarganya. Ia wajib membersihkan dirinya selalu, bersiap sedia setiap waktu dan keadaan, barangkali suaminya itu dengan tiba-tiba menginginkandirinya untuk bersenang-senang. Selain itu isteri juga wajib mengasihi anak-anaknya, menjaga dan menutup keburukan mereka, jangan mudah mengeluarkan kata-kata makian kepada anak-anaknya ataupun berbuat sesuatu yang menyakitkan suaminya.

Demikian nasihat seorang ibu yang budiman kepada anaknya. Sementara itu ada pula beberapa perkara yang merupakan adab sopan seorang isteri, jikalau ia menginginkan ketenangan dalam rumahtangganya iaitu:

  • Janganlah isteri itu membangga-banggakan dirinya terhadap suaminya kerana kecantikan yang dimilikinya.
  • Jangan menghina suaminya kerana buruk rupa dan wajahnya.
  • Sentiasa menjaga kedamaian, ketenangan dalam segala hal.
  • Menahan diri sewaktu suaminya tidak ada di rumah.
  • Menunjukkan sikap baik, bermain-main dan berlapang dada serta melakukan segala hal yang menyebabkan kesenangan suami sewaktu suaminya ada di rumah.

Ada suatu kewajipan yang harus dipatuhi oleh isteri dan ianya termasuk dalam hak-hak perkahwinan, iaitu:

  • Jikalau isteri itu ditinggalkan mati oleh suaminya, maka hendaklah isteri itu menjaga dirinya dan berkabung tidak lebih dari empat bulan sepuluh hari. Dalam waktu itu dia dilarang mengenakan harum-haruman dan berhias.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menunjukkan perkabungan kerana meninggalnya seseorang lebih dari tiga hari lamanya, melainkan untuk suaminya, maka bolehlah sampai selama empat bulan sepuluh hari" (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
  • Isteri itu menetap di rumah yang disediakan sewaktu ia masih menjadi isteri dan suaminya yang meninggal itu sehingga habis masa iddah.
  • Isteri itu tidak boleh berpindah ke rumah keluarganya atau keluar dari rumah itu, melainkan dalam keadaan darurat. Masih ada lagi adab sopan sebagai seorang isteri iaitu hendaklah isteri itu bekerja dan berkhidmat pada rumahtangga dalam segala perkara yang mampu ia lakukan, hal yang sedemikian inilah yang dilakukan oleh para isteri sahabat r.a.

Disebabkan abang kesayangan saya iaitu Muhammad Iqram bin Shaharuddin sudah memberi khabar berita kepada kami sekeluarga yang dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini (insyaallah) jadi entri yang saya buat ini adalah khas untuk beliau dan juga sebagai penambah pengetahuan insan-insan yang ingin bernikah dan melangsungkan perkahwinan.

1. Takrif Nikah :

i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci akan sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :

  • Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

    "Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )

  • Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

    "Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )


  • Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.
Kufu dalam pernikahan:

1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.

2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud :


"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ".

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".

5. Kufu berpunca daripada lima sebab :

  • Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
  • Merdeka bukan hamba .
  • Keturunan.
  • Pekerjaan.
  • 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )
Khiar dalam pernikahan:


1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.


2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.


3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:

a) Gila.

b) Jazam. ( penyakit kusta )

c) Barash. ( penyakit sopak )

d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.

e) 'Unnah ( mati pucuk )


4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:

a) Gila.

b) Jazam. (penyakit kusta)

c) Barash (penyakit sopak)

d) Rutaqa' (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)

e) Qurana' (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)


5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.


6. 'Unnah ( mati pucuk ) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat.Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.

Wanita yang haram/tidak boleh dikahwini:

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:

i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.

2. Sebab-sebab haram dikahwini:

i. Haram dengan sebab keturunan.
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan. ( Musyaharah )

3. Haram dengan sebab keturunan:

i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas.
v. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas.
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah.
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. - Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu ".
( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

4. Haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.


Pengertian Maskahwin:

1. PENGERTIAN MASKAHWIN ( MAHAR ).

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang ,barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Riwayat Ahmad )

2. BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR :

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3. HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH:

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

4. WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau meghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

5. GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya , maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

6. MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". (Riwayat Al-Tarmidzi)

7. MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya.
Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. ( Surah Al-Ahzab ayat 49)

PENGERTIAN WALIMATUL ‘ARUS:

  • Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
  • Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat keuntungan duniawi.

    PENSYARI‘ATAN WALIMATUL ‘ARUS

  • Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam.
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“’Abdul Rahman bin ‘Awf melakukan perkahwinan, maka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda kepadanya: Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing.”
(Al-Hadith)


TUJUAN WALIMATUL ‘ARUS

  • Tujuan mengadakan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

Maksudnya:
“Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu.”
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

  • Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita untuk membezakan antara adat dengan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara‘.
  • Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan menggariskan beberapa syarat seperti berikut:

    1. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.

    2. Nyanyian dan muzik yang tidak menimbulkan nafsu.
    3. Tidak melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah subhanahu wata‘ala.

    4. Senikata nyanyian tidak mengandungi perkataan-perkataan yang cabul atau tidak sopan.

HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing".

HUKUM MENGHADIRINYA

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit atau sebagainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAT WAJIB KE MAJLIS KENDURI KAHWIN APABILA DI UNDANG

i) Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang yang kaya sahaja.

ii) Di dalam majlis walimah tersebut, tidak ada seorang pun terdiri dari musuhnya.

iii) Didalam majlis walimah itu, tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan joget.

iv) Tiada bercampur gaul didalam majlis itu dengan perempuan-perempuan yang bukan mahramnya.

v) Tiada bersamaan atau bertembung dalam majlis tersebut dengan tetamu yang bukan Islam.

vi) Peralatan makan dan minum tidak daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera.

vii) Tidak diketahui akan wang perbelanjaan itu dari yang haram.

viii) Jika dijemput datang pada majlis walimah tersebut selama 2 hari berturut-turut, maka hanya wajib datang 1 hari sahaja.

ix) Yang menjemput itu dan yang dijemput itu adalah beragama Islam.


~semoga ilmu ini kita kongsi bersama..jika ada salah silap sila lah tegur/komen agar sama-sama kita raikan cinta dan juga hari yang bahagia~

puasa sunat

Hari ini bertarikh 1 Rejab mengikut kalendar Islam. Saya berniat untuk berpuasa sunat hari ini walaupun keadaan diri seakan tidak mengizinkan kerana masalah sakit perut/gastrik yang teruk namun semangat untuk puasa diteruskan jua.Harap nya tidak lah sampai memudaratkan diri.Ye lah..kalau asyik tak boleh puasa nanti kan susah dibuatnya jadi tak boleh lah nak manjakan diri sangat kan..kerana kita disunatkan berpuasa di dalam bulan bulan haram (suci) iaitu bulan Dzul-Qa'edah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab.

Seperti firman Allah Ta'ala :-

"Sesungguhnya jumlah bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah, dihari Dia mencipta langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram (suci)"

(At-Taubah:36)

Ada riwayat mengatakan bahawa berpuasa sehari dalam bulan haram (suci) itu menyamai berpuasa tiga puluh hari dari bulan lain. Dan seterusnya berpuasa sehari dari bulan Ramadhan menyamai pahala berpuasa tiga puluh hari dari bulan-bulan haram (suci). Riwayat lain pula mengatakan bahawa sesiapa yang berpuasa tiga hari berturut-turut dari hari-hari di bulan-bulan haram, iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu, nescaya dia akan dilindungi Allah dari api neraka.

Ini senarai puasa Sunat :

a) Puasa dalam bulan Sya’ban
b) Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
c) Puasa Arafah pada 9 zulhijjah
d) Puasa hari Tasu’a dan ‘Asyura pada 9 & 10 Muharram
f) Puasa pada hari Isnin & Khamis
g) Puasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan pada 13,14 & 15
h) Puasa satu hari berbuka satu hari
i) Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji atau tidak.
j) Puasa dalam bulan–bulan haram iaitu bulan Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram dan Rejab


Sunat-sunat puasa yang boleh dilakukan:

a) Makan Sahur serta melambatkannya
b) Menyegerakan berbuka puasa & sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis
c) Menjamu orang-orang yang berbuka puasa
d) Mandi junub,haid dan nifas sebelum fajar
e) Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
f) Membaca Al-Quran
g) Beriktikaf terutama 10 hari terakhir bulan Ramadhan

Perkara makruh ketika berpuasa:

a) Berbekam
b) Mengeluarkan darah
c) Berkucup
d) Merasa makanan
e) Bersugi selepas gelincir matahari
f) Mencium wangian

Perkara yang membatalkan puasa

a) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja kecuali terlupa
b) Makan dan minum sepanjang hari
c) Muntah dengan sengaja
d) Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
e) Keluar darah haid & nifas
f) Gila
g) Pitam atau mabuk sepanjang hari
h) Murtad

Keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa

a) Musafir
b) Sakit
c) Mengandung & Ibu yang menyusukan anak
d) Tua

Doa Ketika Berbuka Puasa

اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين.

Ertinya : Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.

Wallahualam..sekadar berkongsi pengetahuan yang ada...
selamat beramal.. (^.^)